Selamat Datang

Khamis, 7 April 2011

Soaljawab Datuk Noraini Di Parlimen.

Parlimen Malaysia



Open Menu
Open Menu
Parit Sulong
Parti: Barisan Nasional
NoSoalan: 399
Dato’ Noraini binti Ahmad [Parit Sulong] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan jumlah kes pencerobohan kawasan tadahan hutan 2008 hingga 2010 dan apakah tindakan yang boleh dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan terhadap Kerajaan Negeri yang membenarkan pembangunan dilakukan dengan sewenang-wenangnya di kawasan tadahan hujan.
Tuan Yang Dipertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kawasan tadahan hutan meliputi kawasan yang terdiri daripada hutan simpanan kekal, tanah kerajaan dan kawasan perlindungan seperti taman negara, taman negeri dan suaka hidupan liar.

Dari tahun 2008 hingga 2010, tiada kes pencerobohan kawasan hutan tadahan air dalam Hutan Simpanan Kekal yang dilaporkan berlaku di Semenanjung Malaysia.

Mengikut Artikel 74(2), Perlembagaan Malaysia, hutan dan tanah adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Justeru itu, Kerajaan Pusat tidak mempunyai sebarang peruntukan kuasa perundangan terhadap kegiatan pencerobohan atau pemusnahan kawasan tadahan air di negeri-negeri. Walaupun begitu, Seksyen 10 (1) dalam Akta Perhutanan Negara, 1984 memperuntukkan supaya Pihak Berkuasa Negeri, mengelaskan kawasan tadahan air dalam Hutan Simpanan Kekal kepada ‘Hutan Tadahan Air’, dan seterusnya ia diklasifikasikan sebagai kawasan Hutan Perlindungan. Dengan pewartaan kawasan hutan ini sebagai Hutan Tadahan Air, maka sebarang aktiviti pembalakan dan pembukaan tanah adalah dilarang. Kerajaan Negeri juga mempunyai kewajipan dan kuasa perundangan di bawah Enakmen Perhutanan Negeri dalam mengawal dan mengurus kawasan-kawasan tersebut daripada sebarang kegiatan pencerobohan dan pembukaan tanah.
Bagi menyelaraskan segala isu dan masalah berkaitan dengan dasar, pentadbiran dan pengurusan perhutanan, Majlis Tanah Negara (MTN) menjadi platform kepada Kerajaan-kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat mengadakan perundingan supaya pendekatan dan penyelesaian ke atas semua perkara berkaitan perhutanan dapat dilihat daripada sudut kepentingan nasional. Malah, MTN telah menjadikan pelaporan mengenai status pewartaan kawasan tadahan air dalam Hutan Simpanan Kekal di negeri-negeri sebagai agenda tetap dalam mesyuarat tahunannya.

Sekian, terima kasih.
Tarikh Siar: 1/7/2011
Dikemaskini Oleh: Norizan bt Abdul Kadir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan